Saturday, April 26, 2008

Bila Berjauhan

Bila Berjauhan
oleh A. Wahab Ali


Tema:
Kasih sayang seorang ayah yang terkenang akan keluarganya sewaktu di rantauan orang.

Persoalan pertama yang terdapat di dalam sajak ini ialah kerinduan penyajak kepada ahli keluarganya. Hal ini boleh didapati daripada rangkap pertama,

yang kurasakan
kau semua mesti di sisiku
karana setiap kualami
kau semua mesti mengalami.


Persoalan kedua yang boleh didapati dalam sajak ini ialah kerinduan penyajak pada keluarganya yang amat kuat. Sajak ini juga menyatakan akan penyajak yang terkenang akan kerenah dan keletah anak-anak dan ketegasan dari isteri dan keluarganya yang disayangi. Hal ini boleh didapati daripada rangkap kedua,

dalam kesepian di tengah ramai
orang yang kutemui tapi tak kukenal
suara kalian ada di telingaku
kenakalan dan ketegasan di rumah tangga
tidak melepaskan jarak kita
malah ingatan itu
menjadikan aku
seorang ayah dan suami
yang terlalu memelihara
erti diri.


Persoalan ketiga yang boleh didapati dalam sajak ini ialah kesedaran penyajak bahawa keluarganya sedang menantikan kepulangannya. Hal ini boleh didapati daripada rangkap yang terakhir,

di tengah ibumu berdoa
dan kau semua menunggu
wujud aku dalam godaan keasyikan
membentuk diri
menjadi seorang ayah dan suami
tegak dan pejal.



Bahasa

Bahasa
oleh Rahman Shaari


Tema:
Penggunaan bahasa yang sempurna dalam setiap aspek kehidupan.

Persoalan pertama dalam sajak ini ialah bahasa sebagai alat berkomunikasi sesama manusia. Hal ini boleh didapati daripada rangkap kedua,

Bahasa adalah pengatur
pucuk fikiran yang bertabur
bahasa adalah pelentur
ranting perasaan yang bersiur.


Persoalan kedua yang terdapat dalam sajak ini ialah penggunaan bahasa untuk mendidik tentang pelbagai perkara dalam mengurus kehidupan. Hal ini boleh didapati daripada rangkap ketiga,

Dengan bahasa
terlihat fakta padu
terlihat sinar ilmu
terlihat cinta padu.


Persoalan yang ketiga pula adalah penggunaan bahasa untuk mempengaruhi orang lain dan mendapatkan ketenangan dalam beribadah. Hal ini boleh dilihat daripada rangkap keempat,

Dengan bahasa
pemimpin memaparkan arah
di pentas siasah,
dengan bahasa
orang beriman menikmati ibadah
khusyuk dan pasrah.


Persoalan keempat pula adalah penggunaan bahasa untuk tujuan-tujuan persefahaman dan perpaduan. Hal sedemikian ditukil daripada rangkap kelima,

Dengan bahasa
budi dipertinggi
mesra diperlebar
dengan bahasa
kita akan menjadi kita bersama.


Persoalan kelima pula adalah bahasa digunakan untuk pengukuhan hasrat dan impian bangsa. Kita dapat menelitinya daripada rangkap keenam,

Jika tanpa bahasa
bagaimana akan kita setujui
perjanjian ini?



Pengajaran

Pengajaran adalah:

  • nasihat atau nilai-nilai moral yang diutarakan oleh penulis melalui karyanya
  • melalui perutusan dan persoalan, kita boleh perolehi pengajaran

Persoalan

Persoalan adalah:

  • isu atau hal yang penulis kemukakan dalam karyanya.
  • Persoalan-persoalan ini termasuklah sebarang hal yang bersangkutan dengan kehidupan, masyarakat dan kehidupan.

Monday, March 31, 2008

Perutusan

Perutusan ialah:

  • mesej atau amanat yang seorang penulis hendak sampaikan melalui tema sesebuah karyanya. Perutusan disampaikan melalui pelbagai cara. Contohnya, novel,lagu, dan musikal.
  • menyokong keunggulan plot dan tema.
  • peristiwa dan sikapwatak serta pengalamannya dalam teks itu boleh dianalisis untuk mendapatkan perutusan
  • perutusan itu boleh berbentuk eksplisit atau implisit.

petikan dari: Glosari Istilah Kesusasteraan (DBP:1998)

Plot

Plot ialah:

  • urutan atau rentetan peristiwa dari awal hingga akhir dalam sesebuah cerita yang berkaitan dengan perilaku watak-wataknya.
  • merupakan rentetan peristiwa yang bersebab, dijalin dengan melibatkan konflik atau pertikaian yang akhirnya terdapat peleraian.
  • mengemukakan peristiwa yang terjadi, dan mengapa hal itu terjadi. Penyusunan Plot timbul setelah factor-faktor yang membina cerita terkumpul.
  • penyusunan kronologi yang telah diubah suai mengikut kemahuan pengarang.
  • susunan cerita bergantung pada kreativiti pengarang itu sendiri
  • dirangka dengan teliti oleh pengarang dan tidak semestinya berurutan secara kronologi.
Di dalam sebuah plot, ada 4 komponen penting iaitu:

[Pengenalan --> konflik --> klimaks --> Peleraian]



petikan dari: http://forum.ekpkm.com/viewtopic.php?f=42&t=358

Tema

Tema adalah:

  • perkara yang dibincangkan di dalam sebuah cereka, dan sebagainya.

Menurut Kamus Dewan: subjek yang menjadi dasar sesuatu perbicaraan, wacana, karangan, cerita dan sebagainya, tajuk, pokok (hal).

Menurut Glosari Istilah Kesusasteraan (DBP:1998): idea atau persoalan pokok atau idea yang mengawal sesebuah karya sastera. Dalam karya prosa yang bukan cereka, tema mungkin dianggap sebagai persoalan umum dalam perbincangan, bahan karangan ataupun yang disebut sebagai tesis. Dalam cereka, tema menjadi panduan bagi pengarang memilih bahan-bahan dalam ceritanya itu dan untuk disusunnya.

Tema sesebuah cerita tidak dapat dilihat sepenuhnya sehingga cerita itu selesai dibaca. Dalam puisi dan drama, tema adalah konsep yang abstrak yang menjadi konkrit melalui karya, iaitu melalui cara-cara watak-watak bertindak, berfikir, dan bergerak atau cara-cara watak itu berkonflik antara satu sama lain dan cara cerita itu diselesaikan, semuanya menentukan rupa tema yang dikemukakan oleh pengarang. Pengertian yang terkandung disebalik karya itulah yang dikatakan pokok persoalan atau tema.