Saturday, April 26, 2008

Usia

Usia
oleh Siti Zainon Ismail

Tema:
Kematangan seorang gadis dengan berkepercayaan kepada kekuasaan Allah terhadap hamba-Nya

Persoalan pertama yang boleh didapati dalam sajak ini adalah membina harapan, redha dengan apa-apa akan Allah berikan dan juga menjemput kedatangan kematangannya. Hal ini boleh didapati daripada rangkap pertama,

Telah kususun letakmu
di sisian tenang
ruang kukecilkan lagi
dengan keingian sederhana
kulepaskan kupu-kupu semalam
melalui jendela
diiringi segaris cahaya pagi
selamatlah datangmu.


Persoalan kedua yang boleh didapati dalam sajak ini adalah semakin gadis itu mendewasa, kebijaksanaannya bertambah dan juga penyajak mengingatkan agar dalam mengharungi pengalaman itu agar kita tidak menyalahgunakan kelebihan yang terdapat pada diri kita. Hal ini boleh didapati daripada rangkap kedua,

Atas kecintaan diri
hidup didewasakan
menjadi krisal padu
memancarkan cahaya berpenjuru
seharusnya kita berhati-hati
memantulkan kembali
ke hala yang satu.

Persoalan ketiga yang boleh didapati dalam sajak ini adalah tanpa kehendak Allah, kita tidak akan dapat hidup dan melihat dunia dan juga mengenai maut atau kematian. Hal ini boleh didapati daripada rangkap ketiga,

Tanpa keizinan-Mu
pagi tidak lagi berbau tanah
atau tiba-tiba
lorong kecilku
menjadi ungu.


Ketika Kami Bercerita Tentangnya

Ketika Kami Bercerita Tentangnya
oleh Lim Swee Tin

Tema:
Pengorbanan seorang ayah

Persoalan pertama yang boleh didapati dalam sajak ini ialah hubungan anak dengan ayahnya yang rapat dan kemiskinan keluarga penyajak. Hal ini boleh didapati daripada rangkap pertama,

Ketika kami bercerita tentangnya
bapa sedang tidur
aku cukup kenal
pada lelap matanya
tikar mengkuang lusuh itu
barangkali, tambah melenakan bapa.


Persoalan kedua yang boleh didapati dalam sajak ini ialah hidup penyajak yang miskin dan banyak kekurangan kebendaan, dan tentang ayah penyajak yang melalui kesusahan ketika membesarkan anak-anak. Walaupun bekerja sepanjang masa dan mendapat gaji sedikit, tetapi dia tetap dapat meluangkan masa untuk bersama anak-anaknya. Hal ini boleh didapati daripada rangkap kedua,

Tadi
lama sekali bapa menemani kami
mengisi malam-malam seperti selalunya
duduk mengelilingi pelita minyak tanah
yang kecil itu
semacam pahit dan getir pengalamannya
begitu akrab pula
dengan kami semua.


Persoalan ketiga yang boleh didapatkan dalam sajak ini ialah anak-anak yang memahami akan masalah ayahnya dan hidup mereka susah. Anak-anak ini juga memahami bahawa mereka harus menerima dan akur dalam kemiskinan dan kekurangan dalam kehidupan mereka. Hal ini boleh didapati daripada rangkap ketiga,

Tidak pernah kami menyoal
mengapa demikian
laut sejarahnya
kerana
seperti juga di hutan kehidupan ini
kami sedia memaklumi
akan ketentuan
yang harus digenggam.


Persoalan keempat yang boleh didapatkan dalam sajak ini ialah kehidupan itu banyak hambatannya. Hal ini boleh didapati daripada rangkap keempat,

Asap pelita berkepul
sesekali meliuk digerak angin
ketika kami bercerita
tentang bapa
aku cukup faham
pada sebuah doa yang selalu disebutnya:


Persoalaan kelima yang boleh didapatkan dalam sajak ini ialah dugaan, kesusahan dan cabaran. Harapan sang bapa yang mahu memastikan kehidupannya yang susah pada masa lampau tidak akan berlanjutan dalam hidup masa depan anak-anaknya. Hal ini boleh didapati daripada rangkap kelima.

Semoga ombak masa laluku
bukan gelombang masa depanmu
.

Wanita Zaman Ini

Wanita Zaman Ini
oleh Aladin Mohamad

Tema:
Kemajuan wanita moden

Persoalan pertama yang boleh didapati dalam sajak ini ialah wanita moden berasakan diri mereka setaraf dengan lelaki dan mereka berfikir perkahwinan tidak perlu. Hal ini boleh didapati daripada rangkap pertama,

Wanita zaman ini
tak berasa perlu bersuami
taraf kehidupan mereka kini sudah tinggi
mereka begitu mampu hidup berdikari.


Persoalan kedua yang boleh didapati dalam sajak ini ialah wanita moden berasakan lelaki akan mengongkong kebebasan, pergerakan dan kreativi mereka dan wanita moden berasa berkebolehan juga untuk melakukan semua tugas dalam bidang-bidang yang lelaki ceburi. Hal ini boleh didapati daripada rangkap kedua,

Wanita zaman ini
lebih bahagia hidup sendiri
perkahwinan bagi mereka membatasi
pergerakan diri
dan segala aktiviti peribadi
bahkan memperjudi
nasib diri
di tengah kehidupan lelaki.


Bila Berjauhan

Bila Berjauhan
oleh A. Wahab Ali


Tema:
Kasih sayang seorang ayah yang terkenang akan keluarganya sewaktu di rantauan orang.

Persoalan pertama yang terdapat di dalam sajak ini ialah kerinduan penyajak kepada ahli keluarganya. Hal ini boleh didapati daripada rangkap pertama,

yang kurasakan
kau semua mesti di sisiku
karana setiap kualami
kau semua mesti mengalami.


Persoalan kedua yang boleh didapati dalam sajak ini ialah kerinduan penyajak pada keluarganya yang amat kuat. Sajak ini juga menyatakan akan penyajak yang terkenang akan kerenah dan keletah anak-anak dan ketegasan dari isteri dan keluarganya yang disayangi. Hal ini boleh didapati daripada rangkap kedua,

dalam kesepian di tengah ramai
orang yang kutemui tapi tak kukenal
suara kalian ada di telingaku
kenakalan dan ketegasan di rumah tangga
tidak melepaskan jarak kita
malah ingatan itu
menjadikan aku
seorang ayah dan suami
yang terlalu memelihara
erti diri.


Persoalan ketiga yang boleh didapati dalam sajak ini ialah kesedaran penyajak bahawa keluarganya sedang menantikan kepulangannya. Hal ini boleh didapati daripada rangkap yang terakhir,

di tengah ibumu berdoa
dan kau semua menunggu
wujud aku dalam godaan keasyikan
membentuk diri
menjadi seorang ayah dan suami
tegak dan pejal.



Bahasa

Bahasa
oleh Rahman Shaari


Tema:
Penggunaan bahasa yang sempurna dalam setiap aspek kehidupan.

Persoalan pertama dalam sajak ini ialah bahasa sebagai alat berkomunikasi sesama manusia. Hal ini boleh didapati daripada rangkap kedua,

Bahasa adalah pengatur
pucuk fikiran yang bertabur
bahasa adalah pelentur
ranting perasaan yang bersiur.


Persoalan kedua yang terdapat dalam sajak ini ialah penggunaan bahasa untuk mendidik tentang pelbagai perkara dalam mengurus kehidupan. Hal ini boleh didapati daripada rangkap ketiga,

Dengan bahasa
terlihat fakta padu
terlihat sinar ilmu
terlihat cinta padu.


Persoalan yang ketiga pula adalah penggunaan bahasa untuk mempengaruhi orang lain dan mendapatkan ketenangan dalam beribadah. Hal ini boleh dilihat daripada rangkap keempat,

Dengan bahasa
pemimpin memaparkan arah
di pentas siasah,
dengan bahasa
orang beriman menikmati ibadah
khusyuk dan pasrah.


Persoalan keempat pula adalah penggunaan bahasa untuk tujuan-tujuan persefahaman dan perpaduan. Hal sedemikian ditukil daripada rangkap kelima,

Dengan bahasa
budi dipertinggi
mesra diperlebar
dengan bahasa
kita akan menjadi kita bersama.


Persoalan kelima pula adalah bahasa digunakan untuk pengukuhan hasrat dan impian bangsa. Kita dapat menelitinya daripada rangkap keenam,

Jika tanpa bahasa
bagaimana akan kita setujui
perjanjian ini?



Pengajaran

Pengajaran adalah:

  • nasihat atau nilai-nilai moral yang diutarakan oleh penulis melalui karyanya
  • melalui perutusan dan persoalan, kita boleh perolehi pengajaran

Persoalan

Persoalan adalah:

  • isu atau hal yang penulis kemukakan dalam karyanya.
  • Persoalan-persoalan ini termasuklah sebarang hal yang bersangkutan dengan kehidupan, masyarakat dan kehidupan.